APABILA berdepan masalah hidup, fikiran dan perasaan menjadi resah serta bercelaru. Namun, Allah memberikan orang mukmin pelbagai jalan bagi menangani apa saja permasalahan hidup di dunia ini.

Satu daripadanya, amalan istighfar untuk memohon keampunan Allah sebanyak yang boleh setiap hari sebagai ibadah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa memperbanyakkan istighfar, Allah melepaskan segala kesulitannya, menjadikan jalan keluar bagi kesempitannya dan mengurniakannya rezeki dari sumber yang tidak diketahui.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Inilah perkhabaran gembira buat mukmin yang selalu melazimkan istighfar dalam kehidupannya.

Dalam satu riwayat, Ar-Rabi’ bin Sobih berkata kepada Imam Al-Hasan: “Kaum lelaki datang kepadamu dengan mengadu mengenai pelbagai masalah, untuk mereka semua, kamu menyuruh beristighfar.”

Lalu kata Al-Hasan: “Aku tidak berkata apa-apapun daripada pendapatku sendiri, bahkan sesungguhnya Allah mengatakan dalam surah Nuh, Hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia akan menghantar kepada kamu hujan dengan lebat. Dan memperbanyakkan harta dan anak dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai.” (Surah Nuh, ayat 10-12)

Begitulah kedudukan istighfar sebagai mekanisme menghadapi pancaroba hidup. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan seandainya Allah membantu kita, begitulah sebaliknya, tiada apa boleh dilakukan tanpa pertolongan Allah.
Kita seharusnya mengambil iktibar pengajaran kisah Nabi Nuh seperti diceritakan dalam al-Quran ketika Baginda menasihatkan kaumnya memperbanyakkan istighfar kepada Allah supaya segala dosa mereka diampunkan dan Allah memberi limpah kurnia hujan dan menumbuhkan rezeki kepada mereka.

Firman Allah bermaksud: “Dan (dia) berkata, wahai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang sangat deras atas kamu dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.” (Surah Nuh, ayat 52)

Nyata taubat dan istighfar adalah penyelesaian masalah hidup. Oleh itu, dalam kehidupan serba moden hari ini, amalan taubat dan istighfar mestilah tidak dicuaikan, sebaliknya dijadikan amalan harian khususnya selepas solat wajib mahupun sunat.

Al-Imam Al-Qurthuby mengatakan, taubat dan istighfar seseorang mukmin itu akan diluaskan pintu rezekinya serta mampu menikmati kehidupan dengan tenteram dan bahagia.

Kita mengalami masalah mungkin disebabkan maksiat dan dosa yang kita lakukan, zahir ataupun batin. Dengan tompokan dosa itulah yang menjadi penghalang terbukanya pintu rahmat dan rezeki dari Allah.

Hal itu pernah disuarakan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang hamba itu diharamkan rezeki untuknya disebabkan dosa yang dilakukannya.” ( Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim).

Sebagai hamba Allah, kita tidak harus lalai daripada bertaubat dan istighfar kerana tiada seorang manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Untuk melepaskan diri daripada belenggu dosa dilakukan secara sedar atau tidak, ialah dengan memperbanyakkan taubat dan istighfar kepada Allah.

Janganlah menganggap diri kebal atau bersih dosa lantaran sentiasa menuruti apa saja perintah Allah kerana kita mungkin dijangkiti penyakit hati dan dosa maksiat hati juga akan menjadi penyebab timbulnya pelbagai dugaan hidup.

Sesungguhnya, beruntunglah hidup seseorang mukmin yang apabila tergelincir ke lembah dosa dan merasakan dirinya jauh dari Allah, lalu berusaha keras melakukan taubat dan beristighfar. Orang ini akan disucikan kembali hatinya dan kehidupannya pasti disinari kebahagiaan melalui pelbagai nikmat.
Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.
Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?


Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.


Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.


Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.


Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)


Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.


Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)


Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)


Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.


Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

REMAJA dan PELANCONGAN ISLAM
23:24 | Author: CaHaYa KeADILaN

SEMEMANGNYA Allah telah menciptakan bumi ini untuk diterokai supaya minda manusia berkembang dan sentiasa mencari kebenaran serta ilmu pengetahuan terutama yang berkaitan dengan tafsiran al-Quran.

Sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman Nabi Adam lagi manusia bermusafir, mengembara dan merantau untuk mencari ilmu tentang kehidupan.

Allah telah menciptakan bumi dan isi kehidupannya dengan penuh hikmah dan bijaksana. Allah menjadikan manusia berpasang-pasangan dan pelbagai bangsa supaya manusia melakukan lita’arafu atau saling mengenali.

Pepatah Melayu juga ada menyebutkan ‘jauh berjalan, luas pemandangan’.

Dalam erti kata lain, bermusafir dan mengembara sememangnya menambah ilmu pengetahuan terhadap sesuatu perkara, memberi nilai kepada makna kehidupan, menjadikan manusia lebih dewasa dan berfikiran lebih luas dan terbuka.

Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu darinya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam yang sememangnya digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.

Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelusuk negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang seperti falsafah, kalam, fuqaha dan batiniah serta mengkaji kekuatan dan kelemahan masing-masing. Begitu juga dengan ulama-ulama lain yang terkenal sehingga kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil dari pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi.

Malahan, Nabi Muhammad SAW sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelosok negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya.

Mengenai soalan saudara mengenai binaan atau kawasan sejarah yang menjadi bekas tinggalan jajahan, kerosakan ataupun kekejaman manusia, sesungguhnya ia adalah terpulang kepada orang yang melawat untuk menafsirkannya. Adakalanya ia adalah sebagai peringatan kepada manusia tetang kesilapan umat di masa lampau dan peluang untuk kita menginsafi dan mempelajari sesuatu dari sejarah.

Dalam al-Quran ada diceritakan mengenai kisah-kisah umat yang dibinasakan terdahulu dan tempat-tempat yang dikatakan itu kini dijadikan sebagai tempat pelancongan. Pada pandangan seorang remaja Islam, kawasan-kawasan tersebut bukanlah sekadar tempat untuk melancong, tetapi adalah tempat untuk menginsafi akan kekuasaan Allah dan betapa pentingnya mengamalkan hidup berdasarkan hukum syariat Allah.

Ajaran Islam tidaklah membataskan pergerakan manusia untuk bermusafir mencari pengalaman dan ilmu, tetapi mestilah disertai dengan niat yang baik untuk mempelajari sesuatu dan bukannya berbuat maksiat. Malah di dalam al-Quran, Allah berfirman (maksudnya): Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (al-Hajj:46)

Begitu juga apabila kita melawat suatu kawasan yang cantik dan indah, adalah menjadi fitrah manusia untuk mengaguminya. Lantas, sebagai remaja Islam, kita faham bahawa kejadian tersebut adalah ciptaan Allah yang Maha Agung dan tiada yang setanding dengan kekuasaan-Nya.

APABILA CINTA BERTUKAR BENCI
23:00 | Author: CaHaYa KeADILaN

CINTA sepatutnya membuatkan pasangan kekasih, tunang atau suami isteri berasa bahagia, ceria, gembira dan dihargai. Sebabnya, cinta wujud daripada perasaan baik. Terhasil daripada kasih dan sayang serta saling mempercayai.

Kalau itu asas cinta, kalau kasih sayang yang mengikat sesebuah percintaan kenapa saban hari kita didedahkan dengan laporan mengenai pasangan terutama si wanita dikasari, didera dan ada yang dibunuh dalam perhubungan cinta?

Kenapa perasaan cinta yang sepatutnya menyuburkan rasa kesihan dan saling melindungi bertukar menjadi kejam? Hingga ada pasangan yang disiksa tanpa peri kemanusiaan seperti disimbah dengan asid dan dibakar.

Salah satu puncanya ialah apabila seseorang itu merasakan hubungan cintanya tergugat apabila ada elemen-elemen yang menyatukan mereka kian pudar.

Pakar Psikologi, Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata, perasaan cinta wujud daripada tiga elemen yang ada dalam diri seseorang.

Elemen pertama, katanya, komitmen iaitu perasaan sayang-menyayang antara pasangan.

Kedua, keintiman iaitu keakraban fizikal atau emosi yang membuatkan seseorang terlalu sayang terhadap pasangannya. Yang ketiga keghairahan yang bermaksud sentiasa ingin berdekatan kerana komitmen serta keintiman.

"Setiap pasangan bercinta perlu mempunyai tiga elemen ini untuk memastikan kebahagiaan hubungan mereka berterusan.

"Jika seorang daripada pasangan itu mendapati pasangannya tidak mempunyai ketiga-tiga elemen ini, akan timbul rasa tidak puas hati.

"Kerana inginkan pasangannya menunjukkan ketiga-tiga elemen tersebut dan bimbang kehilangan orang yang dicintai, seseorang itu mampu bertindak ganas sehingga di luar kemampuan dan jangkaannya sebagai seorang yang normal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mariani berkata, bagaimanapun, terdapat juga beberapa faktor lain membuatkan seseorang bertindak ganas kepada orang yang dicintainya.

Adakala, campur tangan keluarga dalam perhubungan sehingga membuatkan pasangan suami isteri atau kekasih tidak mampu berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Keadaan itu mampu menimbulkan persengketaan antara pasangan berkenaan.

Selain itu, katanya, keletihan atau penat juga mampu menjadikan seseorang bersikap lebih kasar dan panas baran terhadap pasangan.

Justeru, tambahnya, bagi menangani masalah keganasan dalam percintaan, setiap pasangan sama ada lelaki atau wanita perlu banyak bermuhasabah diri dan beristifar jika berdepan masalah dan apabila wujud rasa tidak puas hati.

"Orang yang sedang marah sering bertindak di bawah sedar jadi seseorang itu perlu menenangkan diri sendiri agar tindakan yang diambil bagi menangani masalah percintaannya adalah yang terbaik.

"Keluarga adalah individu yang paling rapat dengan pasangan jadi mereka perlu membantu sama ada menasihat atau membawanya bertemu kaunselor.

"Pihak ketiga iaitu keluarga atau kaunselor adalah individu penting untuk menyelesaikan konflik besar dalam sesuatu perhubungan kerana ia adalah contoh kemurungan peringkat awal," ujarnya.

TIPS kESIHATAN : DENGKUR GEJALA GANGGUAN TIDUR
22:47 | Author: CaHaYa KeADILaN

OSA dan masalah dengkur yang berlaku akibat halangan pada laluan udara (gambar kiri) boleh dirawat menggunakan alat MAD yang menganjak kedudukan rahang bawah (gambar kanan).

Krohhh! krohhhhh! uughghghhh! sssyyy. Tidak kira sama ada bunyinya digambarkan seperti hon amaran kabus kapal laut, dengungan gergaji elektrik, guruh berdentum atau enjin buldozer, semua orang tahu apa yang dimaksudkan - dengkur.

Seorang pemandu pelancong memberi isyarat kepada saya ketika seorang rakan tidur dan berdengkur di dalam bas. Mujur ketika itu, rakan-rakan yang lain dibuai lena kerana keletihan. Teringat kata-kata Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pantai Ampang, Dr. Raymond Tan, seseorang yang berdengkur biasanya berbadan besar. Melihat saiz tubuh rakan itu, saya mengiakan dalam hati. Saya membayangkan jika yang tidur itu adalah pemandu bas pelancongan itu, apakah nasib kami? Seseorang boleh tertidur pada siang hari kerana tidur malamnya sebenarnya tidak lena kerana ada gangguan tidur. Seperti nasihat Dr. Raymond secara berseloroh: "Jika saya ingin menaiki bas balik ke kampung dari Kuala Lumpur ke Kelantan, saya pasti tidak mahu menaiki bas yang dipandu oleh seseorang berbadan besar. Dia mungkin mengalami masalah dengkur ketika tidur dan cepat keletihan. Itu risiko kepada kemalangan."

Menurut Dr. Raymond, dengkur secara amnya berlaku apabila penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks.

Getaran itu seterusnya menghasilkan bunyi khusus dengkur.

"Bahaya utama adalah apabila penghidap dengkur mempunyai Apnea Tidur Halangan (OSA) yang teruk, menyebabkannya berhenti bernafas lebih 30 saat, berulang kali semasa tidur.

''Oleh itu, individu yang berdengkur perlu menjalani ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.

''Individu yang mengalami dengkur biasa tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga).

Namun, individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang," ujarnya.

Nafas terhenti

Mereka yang mengalami masalah OSA selalunya berada dalam keadaan separa sedar. Mereka juga biasanya tidak mengingati peristiwa tersebut walaupun tidurnya terganggu berulang kali sepanjang malam.

Bunyi dengkur akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba terhenti seketika akibat pernafasan terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup).

Halangan pada bekalan udara ke paru-paru ini akan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam darah dan otak yang dikhuatiri akan membawa kepada banyak masalah kesihatan lain.

"Mereka yang menghidap OSA juga akan berasa letih selepas bangun tidur, sangat mengantuk serta kelihatan seperti mengalami masalah kemurungan.

''Kekurangan oksigen terutamanya ke otak bukan sahaja satu masalah kesihatan malahan boleh membawa maut jika dibiarkan berterusan,'' katanya.

Oleh itu, menurut Dr. Raymond, setiap orang perlu faham bahawa kitaran tidur, dengkur dan OSA amat berbahaya dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja. Lebih teruk lagi kadang-kadang ketika memandu sama ada waktu siang atau malam, seseorang boleh terlelap kerana dengkur.

Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, rendah (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).

Dengkur dan apnea boleh menyebabkan kekurangan oksigen ke otak dan jantung, menjejaskan fungsi otak dan tekanan kepada jantung (jantung makin besar, denyut jantung dan pernafasan makin laju).

Gangguan tidur pesakit jelas kelihatan jika mereka masih mengantuk di waktu pagi sementara kanak-kanak kelihatan sukar memberi tumpuan.

Rawatan OSA

Rawatan paling umum OSA adalah tekanan berterusan laluan udara atau CPAP (Continuous Positive Airway Pressure). Rawatan lain termasuk menurunkan berat badan, ubat-ubatan secara oral, terap dan pembedahan.

Berat badan yang bertambah sememangnya menjadi faktor risiko berlakunya OSA.

Terbaik, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan terbaik.


Bicara Agama : Mitos Nibiru, kiamat 2012
22:25 | Author: CaHaYa KeADILaN

Persoalan tentang bilakah berlakunya kiamat adalah antara perkara samiyat. Umat Islam wajib percaya kiamat akan berlaku cuma tarikhnya yang menjadi rahsia Allah SWT. Bagaimanapun, kebelakangan ini, masyarakat disogokkan dengan berita kononnya akan berlaku perlanggaran besar antara bumi dan planet Nibiru. Mitos perlanggaran planet Nibiru bukan perkara baru.

Sejak beberapa tahun lalu sudah terbit beberapa buah buku berkaitan ramalan tentang 2012 ini. Buku-buku ini dikarang oleh penulis kontemporari, menjelaskan pendapat daripada banyak pakar dan bidang.

Apa yang menarik, buku-buku ini mendapat perhatian umum dan laris seperti pisang goreng panas.

Buktinya, ada judul yang berjaya menduduki tangga teratas buku paling laris di rumah-rumah penerbitan dan rangkaian kedai buku utama.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO, Mohd. Riduan Khairi bagi mengupas isu ini.

MEGA: Siapakah yang bertanggungjawab mengutarakan kisah ini?

RIDUAN: Individu yang bertanggungjawab pertama kali mengutarakan kisah ini ialah Notramadus, seorang ahli falsafah Perancis pada tahun 1535.

Beliau terkenal kerana membuat ramalan mengenai masa depan. Asal perkataan Nibiru diambil daripada nama tuhan dalam bahasa Babylon.

Menurut ramalan asal Notramadus, perlanggaran itu sepatutnya berlaku pada tahun 2003. Kemudian ia ditukar kepada tahun 2012 berdasarkan kalendar kaum Mayan di Amerika Tengah.

Ini kerana ramalan Notramadus dibuat berdasarkan kalendar ini, dan tarikh kalendar ini berakhir ialah pada 21 Disember 2012. Setakat ini sahaja pun sudah menunjukkan betapa fatalnya dakwaan perlanggaran Planet Nibiru.

Oleh kerana tidak ada apa-apa berlaku pada tahun 2003, maka ia ditunda hingga tahun 2012. Alasannya mudah, kerana 2012 merupakan tarikh terakhir dalam kalendar.

Sebenarnya, ramalan-ramalan tidak berasas begini mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat umum dan umat Islam secara khasnya.

Apakah kesan ramalan begini kepada umat manusia?

RIDUAN: Mengadakan ramalan begini sudah semestinya menimbulkan keresahan di kalangan manusia. Persis seperti mana yang berlaku pada tahun 1999 menjelang tahun 2000. Ketika itu heboh dikatakan tentang virus Y2K.

Kononnya semua peralatan elektronik akan mengalami gangguan. Ini bukan perkara kecil, kerana ia akan melibatkan sistem kerajaan, perjalanan pesawat penerbangan, sistem lalu lintas dan banyak perkara lain lagi.

Kemudian alaf baru pun menjelma, sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku melainkan beberapa perkara kecil sahaja yang bersifat teknikal.

Ternyata propaganda ini disebar-luaskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti syarikat pengeluar anti virus dan syarikat yang menjalankan penyelenggaraan sistem.

Namun kita masih belum dapat mengesan apakah agenda di sebalik tersebarnya berita perlanggaran Planet Nibiru ini.

Apakah produk yang akan dikeluarkan untuk menangani atau menghadapi peristiwa besar ini? Ataukah ada pihak yang akan menyediakan kem perlindungan berbayar atau pesawat untuk menyelamatkan diri seperti yang dilukiskan dalam filem-filem animasi?

Apa pula hujah ahli astronomi dalam hal ini?

RIDUAN: Dakwaan dan ramalan tentang ruang angkasa dan apa yang berlaku di luar ruangan atmosfera, mungkin dapat dipercayai ribuan tahun dahulu. Namun pada hari ini, sudah ada satelit dan alat pencerap untuk menyemak kebenaran dakwaan ini.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Fairos Asilan menjelaskan: “Jika benar Planet Nibiru ini akan melanggar bumi pada tahun 2012, sudah tentu ia sangat hampir dengan bumi dan kita sudah lama mengesannya.”

Tambah beliau: “Dunia mempunyai banyak program pemantauan angkasa dan sistem teleskop kita boleh mengesan benda yang jauh sehingga beribu-ribu tahun cahaya.”

Kenyataan beliau disokong oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili ketika berucap di Dewan Negara. Beliau memberitahu bahawa dakwaan Planet Biru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012 adalah tidak benar. Kewujudan Planet Biru pun masih diragui.

Berakhirnya Penantian 14 Tahun Untuk Malaysia
22:21 | Author: CaHaYa KeADILaN

JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.

Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan

Juara Piala AFF 2010: Permulaan era baru untuk bola
22:03 | Author: CaHaYa KeADILaN

Kejayaan Malaysia merebut Piala Suzuki AFF 2010 bukan sekadar menamatkan penantian 14 tahun untuk unggul sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara, malah sekali gus merupakan permulaan era baru bola sepak Malaysia sejak zaman kegemilangannya 20 tahun lalu.

Ia juga membuktikan bahawa pasukan Malaysia bukan sahaja jaguh di gelanggang sendiri malah di gelanggang lawan yang dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong.

Apa yang diharapkan para penyokong ialah pasukan bola sepak Malaysia akan terus mengekalkan prestasinya di peringkat antarabangsa dan menambahkan gelaran juara di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah permulaan era baru. Sebelum ini semua orang berkata bola sepak Malaysia sedang menjunam-menjunam.

“Sekarang apa yang dikehendaki oleh penyokong-penyokong akhirnya menjadi kenyataan,” demikian reaksi spontan presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor, Mohd Nasir Yunus sejurus selepas menonton perlawanan akhir kedua itu di Dewan Serba Guna Kedutaan Besar Malaysia di sini malam tadi.

Beliau berkata, para penyokong bola sepak Malaysia berkata kejayaan malam ini akan menjadi penanda aras kepada pemain-pemain muda dan menjadikannya sebagai pembakar semangat kenapa mereka juga tidak boleh berjaya sebagaimana pasukan Malaysia ini. – Bernama