Contohi RASULULLAH Hamba Tuhan Sangat Pemalu
05:26 | Author: CaHaYa KeADILaN
DARIPADA Abu Said al-Khudri katanya: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu daripada gadis pingitan. Apabila Baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah Baginda." (Hadis riwayat Muslim) .
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan "Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah" dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman." (Hadis riwayat al- Baihaqi) .
Perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, rasa malu adalah tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah.

Rasulullah SAW sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah. Ia terserlah dalam kisah mikraj iaitu di saat Rasulullah SAW menerima perintah secara langsung supaya umatnya mengerjakan solat.
Pada peringkat awalnya, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 waktu sehari. Baginda SAW menyanggupi namun nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad.
Lantas Baginda SAW meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima waktu sehari. Saat itu, Baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat. Namun, Baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah.

Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri Baginda. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya. Namun kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat dan juga ibadah lain.
Begitulah manusia, lazimnya hanya merasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan akhirat di hadapan Tuhan. Kita tidak berasa malu dengan dosa berbukit yang pernah kita lakukan. Malah mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan untuk bertemu Allah lantaran merasa malu atas segala kejahatan dilakukan yang tidak pernah luput daripada penglihatan-Nya.
Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu malu. Abdullah Ibn Mas'ud meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya daripada segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia malu kepada Allah dengan sepenuh malu."
-Dipetik daripada sebuah artikel
|
This entry was posted on 05:26 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: