Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.
Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?


Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.


Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.


Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.


Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)


Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.


Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)


Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)


Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.


Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

REMAJA dan PELANCONGAN ISLAM
23:24 | Author: CaHaYa KeADILaN

SEMEMANGNYA Allah telah menciptakan bumi ini untuk diterokai supaya minda manusia berkembang dan sentiasa mencari kebenaran serta ilmu pengetahuan terutama yang berkaitan dengan tafsiran al-Quran.

Sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman Nabi Adam lagi manusia bermusafir, mengembara dan merantau untuk mencari ilmu tentang kehidupan.

Allah telah menciptakan bumi dan isi kehidupannya dengan penuh hikmah dan bijaksana. Allah menjadikan manusia berpasang-pasangan dan pelbagai bangsa supaya manusia melakukan lita’arafu atau saling mengenali.

Pepatah Melayu juga ada menyebutkan ‘jauh berjalan, luas pemandangan’.

Dalam erti kata lain, bermusafir dan mengembara sememangnya menambah ilmu pengetahuan terhadap sesuatu perkara, memberi nilai kepada makna kehidupan, menjadikan manusia lebih dewasa dan berfikiran lebih luas dan terbuka.

Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu darinya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam yang sememangnya digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.

Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelusuk negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang seperti falsafah, kalam, fuqaha dan batiniah serta mengkaji kekuatan dan kelemahan masing-masing. Begitu juga dengan ulama-ulama lain yang terkenal sehingga kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil dari pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi.

Malahan, Nabi Muhammad SAW sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelosok negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya.

Mengenai soalan saudara mengenai binaan atau kawasan sejarah yang menjadi bekas tinggalan jajahan, kerosakan ataupun kekejaman manusia, sesungguhnya ia adalah terpulang kepada orang yang melawat untuk menafsirkannya. Adakalanya ia adalah sebagai peringatan kepada manusia tetang kesilapan umat di masa lampau dan peluang untuk kita menginsafi dan mempelajari sesuatu dari sejarah.

Dalam al-Quran ada diceritakan mengenai kisah-kisah umat yang dibinasakan terdahulu dan tempat-tempat yang dikatakan itu kini dijadikan sebagai tempat pelancongan. Pada pandangan seorang remaja Islam, kawasan-kawasan tersebut bukanlah sekadar tempat untuk melancong, tetapi adalah tempat untuk menginsafi akan kekuasaan Allah dan betapa pentingnya mengamalkan hidup berdasarkan hukum syariat Allah.

Ajaran Islam tidaklah membataskan pergerakan manusia untuk bermusafir mencari pengalaman dan ilmu, tetapi mestilah disertai dengan niat yang baik untuk mempelajari sesuatu dan bukannya berbuat maksiat. Malah di dalam al-Quran, Allah berfirman (maksudnya): Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (al-Hajj:46)

Begitu juga apabila kita melawat suatu kawasan yang cantik dan indah, adalah menjadi fitrah manusia untuk mengaguminya. Lantas, sebagai remaja Islam, kita faham bahawa kejadian tersebut adalah ciptaan Allah yang Maha Agung dan tiada yang setanding dengan kekuasaan-Nya.

APABILA CINTA BERTUKAR BENCI
23:00 | Author: CaHaYa KeADILaN

CINTA sepatutnya membuatkan pasangan kekasih, tunang atau suami isteri berasa bahagia, ceria, gembira dan dihargai. Sebabnya, cinta wujud daripada perasaan baik. Terhasil daripada kasih dan sayang serta saling mempercayai.

Kalau itu asas cinta, kalau kasih sayang yang mengikat sesebuah percintaan kenapa saban hari kita didedahkan dengan laporan mengenai pasangan terutama si wanita dikasari, didera dan ada yang dibunuh dalam perhubungan cinta?

Kenapa perasaan cinta yang sepatutnya menyuburkan rasa kesihan dan saling melindungi bertukar menjadi kejam? Hingga ada pasangan yang disiksa tanpa peri kemanusiaan seperti disimbah dengan asid dan dibakar.

Salah satu puncanya ialah apabila seseorang itu merasakan hubungan cintanya tergugat apabila ada elemen-elemen yang menyatukan mereka kian pudar.

Pakar Psikologi, Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Mariani Md. Nor berkata, perasaan cinta wujud daripada tiga elemen yang ada dalam diri seseorang.

Elemen pertama, katanya, komitmen iaitu perasaan sayang-menyayang antara pasangan.

Kedua, keintiman iaitu keakraban fizikal atau emosi yang membuatkan seseorang terlalu sayang terhadap pasangannya. Yang ketiga keghairahan yang bermaksud sentiasa ingin berdekatan kerana komitmen serta keintiman.

"Setiap pasangan bercinta perlu mempunyai tiga elemen ini untuk memastikan kebahagiaan hubungan mereka berterusan.

"Jika seorang daripada pasangan itu mendapati pasangannya tidak mempunyai ketiga-tiga elemen ini, akan timbul rasa tidak puas hati.

"Kerana inginkan pasangannya menunjukkan ketiga-tiga elemen tersebut dan bimbang kehilangan orang yang dicintai, seseorang itu mampu bertindak ganas sehingga di luar kemampuan dan jangkaannya sebagai seorang yang normal," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mariani berkata, bagaimanapun, terdapat juga beberapa faktor lain membuatkan seseorang bertindak ganas kepada orang yang dicintainya.

Adakala, campur tangan keluarga dalam perhubungan sehingga membuatkan pasangan suami isteri atau kekasih tidak mampu berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Keadaan itu mampu menimbulkan persengketaan antara pasangan berkenaan.

Selain itu, katanya, keletihan atau penat juga mampu menjadikan seseorang bersikap lebih kasar dan panas baran terhadap pasangan.

Justeru, tambahnya, bagi menangani masalah keganasan dalam percintaan, setiap pasangan sama ada lelaki atau wanita perlu banyak bermuhasabah diri dan beristifar jika berdepan masalah dan apabila wujud rasa tidak puas hati.

"Orang yang sedang marah sering bertindak di bawah sedar jadi seseorang itu perlu menenangkan diri sendiri agar tindakan yang diambil bagi menangani masalah percintaannya adalah yang terbaik.

"Keluarga adalah individu yang paling rapat dengan pasangan jadi mereka perlu membantu sama ada menasihat atau membawanya bertemu kaunselor.

"Pihak ketiga iaitu keluarga atau kaunselor adalah individu penting untuk menyelesaikan konflik besar dalam sesuatu perhubungan kerana ia adalah contoh kemurungan peringkat awal," ujarnya.

Israk Mikraj Pedoman Umat
16:22 | Author: CaHaYa KeADILaN
Berpegang teguh dengan Islam walaupun ditindas kerana segala kesukaran pasti berakhir
TAHLIL adalah pengucapan kalimah 'La ilaha illallah', tahmid pula mengucap kalimah 'Alhamdulillah' dan tasbih ialah mengucap 'Subhanallah'.
Pengucapan kalimah terakhir itu bertujuan menunjukkan rasa takjub terhadap sesuatu, manakala Alhamdulillah pula bagi menunjukkan syukur. Kalimah pertama 'La ilaha illallah' dilafazkan bagi menunjukkan ketauhidan atau keesaan Allah SWT. Subhanallah yang bererti Maha Suci Allah pula lafaz doa dan zikir yang mempunyai banyak manfaat antaranya berat timbangan kebaikan walaupun ia hanya satu lafaz mudah seperti dinyatakan dalam hadis.

Dalam ajaran Islam, lafaz ini menunjukkan kesucian Allah SWT dari segala kekurangan dan ucapan menunjukkan kesempurnaan-Nya.
Di samping huruf potong (muqatta'at) seperti alif lam mim, surah al-Quran juga banyak dimulai dengan perkataan 'sabbaha' (3 surah: al-Hadid, al-Hasyr dan al-Saff), 'yusabbihu' (2 surah: al-Jumu'ah dan al-Taghabun) dan 'subhana' (1 surah: al-Isra') yang mempunyai pengertian mengucap tasbih. Sebagai contoh, permulaan surah al-Hadid (besi) maksudnya: "Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah SWT dan Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

Permulaan surah al-Jumu'ah (Jumaat), contoh lain yang bermaksud: "Segala yang ada di langit dan di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekian alam), Yang Maha Suci lagi Maha Bijaksana."
Ketika mengkisahkan perjalanan Israk Mikraj junjungan besar kita, al-Quran memulakan ceritanya menggunakan kata dasar 'subhana' tidak seperti kedua-dua surah di atas yang menggunakan kata kerja. Mengapa? Wallahu a'lam.
Pada awal surah al-Israk (perjalanan ketika malam) Allah SWT berfirman maksudnya: "Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang sudah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israk: 1)
Jika dalam permulaan lima surah lain difokuskan edisi bahasanya pada 'tetap mengucap tasbih' dan 'sentiasa mengucap tasbih,' maka dalam surah al-Israk yang ditekankan ialah 'Maha Suci Allah.'

Bagi kelima-lima surah berkenaan, fokus pembicaraan ialah makhluk yang mengucap tasbih kerana sifat Allah SWT, manakala surah al-Israk fokusnya pada kudrat Allah SWT yang sudah menggerakkan hamba-Nya melakukan perjalanan pada malam yang sangat dahsyat sehingga menjadi mukjizat di samping mukjizat abadi al-Quran al-Karim, kerasulan Muhammad SAW.
Peristiwa Israk Mikraj ialah mukjizat. Oleh itu, tiada alasan menolak hakikatnya dengan roh dan jasadnya kerana peristiwa Israk Mikraj agung bukan atas usaha ikhtiar Nabi SAW, sebaliknya Baginda menghebahkan kepada orang ramai sudah 'diisrak dan dimikrajkan' oleh Allah SWT bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama buraq yang dicipta daripada cahaya.
Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi SAW dalam peristiwa bersejarah 'diisrak dan dimikrajkan' ke langit. Ini bermakna Israk Mikraj ialah peristiwa di luar kemampuan Nabi SAW untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki Allah SWT berlaku ke atas Nabi SAW dengan dibantu malaikat Jibril. Antara sebab berlaku peristiwa Israk Mikraj pada tahun ke-11 kenabian Baginda SAW ialah penolakan penduduk Makkah dan Taif terhadap ajaran Islam yang dibawa Baginda.
Seperti kita ketahui, dalam 11 perjalanan dakwah itu, Baginda mengalami pelbagai cabaran dan rintangan daripada kaumnya sehingga memutuskan pergi ke kota Taif untuk berdakwah dan mencari bantuan.
Malangnya, di Taif Baginda menerima cabaran dan rintangan lebih dahsyat daripada di Makkah. Baginda dilontar batu, pelepah kurma, selipar bahkan kotoran oleh penduduk Taif sehingga malaikat bukit memohon kebenaran Baginda untuk menghancurkan penduduk Taif dengan membenam mereka ke dalam bumi.
Dengan sifat kasih sayangnya, Baginda tidak rela berbuat demikian, malah mengucapkan doa masyhur 'Allahummahdi qaumi fainnahum la ya'lamun' (Wahai Allah, berikanlah petunjuk kepada umatku kerana mereka adalah kaum yang belum mengetahui apa-apa).
Baginda akhirnya kembali ke Makkah dan menerima hakikat manusia tidak boleh diharapkan untuk diminta pertolongan kecuali meminta kepada Allah SWT. Selepas itu berlaku pemulauan yang tidak perikemanusiaan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik terhadap Baginda dan pengikut, khasnya keluarga bani Hashim oleh puak Quraisy sehingga seolah-olah mereka tidak wujud di muka bumi ini walaupun mereka sebenarnya pemimpin terkemuka di kalangan bangsa Arab.
Tidak lama selepas itu, dua tonggak utama kehidupan Baginda selama ini iaitu Siti Khadijah, (isteri) dan Abu Talib, (bapa saudara) meninggal dunia. Tahun itu dikenali sebagai tahun dukacita, 'Am al-huzn.
Sesuai dengan janji Allah SWT kepada Baginda SAW pada permulaan dakwah dalam al-Quran bermaksud: "(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkan kamu dan Dia tidak benci (kepadamu, seperti yang dituduh oleh kaum musyrik)," (Surah al-Duha: 3), maka tiba masanya menunjukkan kepada manusia walaupun Baginda tidak diterima penduduk dunia, maka penduduk langit menerimanya.
Terjadi peristiwa Israk Mikraj sebagai bukti kesulitan yang selama ini melekat pada diri Baginda ketika berdakwah, ada masa untuk berakhir di samping ada pula kemudahan.
Pada hari ini, umat Islam sebagai pembawa agama Islam masih bergelumang kehinaan. Ke mana mereka pergi dan di mana mereka berada, masih dianggap menggugat keselamatan.
Mereka dibunuh walaupun masih dalam perbicaraan mahkamah dan pembunuhnya turut dicadangkan untuk menerima anugerah pingat kebesaran The Cross of Honor oleh kerajaan seperti yang berlaku terhadap Marwa al-Sharbiny di Jerman, awal bulan ini.
Begitu juga saudara kita di Xinjiang, China, yang wilayahnya satu per enam China dan kota minyak kedua terbesar masih dibayangi ketidakadilan pihak berkuasa negara mereka sehinggakan ada yang berasa tertindas di tanah asal mereka yang membawa kepada rusuhan minggu lalu.
Banyak lagi kejadian yang membuat hati kita sebagai pengikut Nabi SAW berasakan seperti dirasai Baginda dan sahabat. Bahkan seolah-olah ia baru berlaku semalam walaupun kejadiannya sudah berlaku lebih 1430 tahun lalu.
Bagaimanapun, sebagai orang beriman kita jangan berasa terhimpit sejengkal pun kerana setiap keadaan pasti berubah. Sebaik-baik ibadat ialah menanti kemudahan dengan sabar biarpun hari terus berganti. Pasti yang ghaib tetap tersembunyi dan Allah SWT tetap pada keadaan dan sifat-Nya.
Allah SWT mungkin menciptakan sesuatu yang baru selepas itu. Selepas lenyap kesukaran, tetap muncul kesenangan. InsyaAllah.
- Dipetik drp : Artikel Agama -
Ubah Sikap, Jaga Tutur Kata Elak Sengketa Ummah
02:09 | Author: CaHaYa KeADILaN
Perkataan baik, lemah lembut mampu memikat pendengar mendekati kebenaran Islam.
ISLAM agama yang menitikberatkan pelbagai aspek kehidupan manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Setiap perkara menyentuh kehidupan manusia sama ada berkaitan kehidupan di dunia mahupun alam akhirat diperincikan Allah dalam al-Quran.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Oleh itu, maka wajarlah setiap inci perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa saja kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka.
Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di muka bumi ini, kita harus ingat setiap apa yang dikatakan, sesungguhnya ia tidak terlepas daripada catatan malaikat yang memerhatikan setiap gerak-geri serta tingkah-laku.

Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya. Firman Allah yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaaf, ayat 18)
Hakikatnya, penuturan kata-kata baik dapat memberi kesan mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata baik dan benar, secara mudah orang di luar sana akan terpikat dengan keindahan serta kebenaran Islam.
Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyeru ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata lembut, bukan dengan angkuh dan bermegah-megah.
Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Toha, ayat 43-44)

Begitulah pentingnya kata-kata yang baik, benar dan lemah lembut dalam proses dakwah sebenar. Keadaan ini bukan saja mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu, mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi serta mulia.
Selain itu, dalam al-Quran dengan jelas Allah menyatakan bahawa antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mendapat gelaran (‘ibad ar-Rahman) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63)
Justeru, adalah menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan lebih teruk lagi merasakan dirinya sahajalah yang betul dan baik jika dibandingkan dengan yang lain.
Sebaliknya, sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita seharusnya merasa rendah diri dan memilih kata-kata terbaik apabila berhadapan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya.
Menyedari hakikat itu, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan menjaga tutur kata supaya tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah ummah. Perlu diingat, kata yang baik, bukan sekadar susunan perkataan indah dan memuji, lebih penting ialah bersifat benar serta jauh daripada segala bentuk tipu daya.
Kebenaran adalah ciri utama yang memainkan peranan penting dalam penuturan kata indah dan mulia. Kata-kata baik yang memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70)
Sama-samalah kita menyedari peranan utama kita diciptakan iaitu untuk mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Allah yang mencipta sekalian alam.
Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak.
Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah daripada terus menuturkan kata-kata tidak berfaedah dan menyakiti hati serta perasaan orang lain.
Sebaliknya, basahilah lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, supaya ketenangan sejati menyuburi hati kita. Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)
Marilah bersama mengubah sikap menjadi orang yang sentiasa berjaga-jaga terhadap setiap tingkah-laku seharian kita. Menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri segala nikmat diperoleh dan sentiasa membahagiakan orang lain dengan pengucapan kata-kata yang baik, indah dan benar.
Pada akhirnya, dengan izin Allah kehidupan kita akan bertambah baik dan dihiasi akhlak unggul, menepati tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.
-Dipetik daripada:Artikel Agama-