Contohi RASULULLAH Sebagai Insan Terbilang
05:53 | Author: CaHaYa KeADILaN
Al-Quran jadi sumber rujukan buat manusia hadapi cabaran hidup

ERA globalisasi yang mewarnai pentas dunia kini kelihatan sedang menyaksikan betapa ramainya manusia semakin tersasar daripada landasan yang lurus. Natijahnya, ramai manusia tertipu dengan godaan dunia yang mempesona.

Keadaan itu menyebabkan indeks keruntuhan akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup diimpikan mulai pupus oleh peperangan serta penindasan. Runtuhnya mahligai rumah tangga memutuskan jalinan mesra seisi keluarga.

Suasana itu menampakkan seolah-olah hidup tiada bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi penyakit jiwa, hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan.

Akhirnya, kedengaran suara jeritan daripada kejauhan sudut hati manusia menyeru apakah ada jalan keluar dari kemelut ini?

Apakah ada konsep yang sesuai untuk manusia hidup sejahtera dan bahagia di dunia dan akhirat?

Apakah kezaliman dan penderitaan yang dialami umat manusia sekian lama ini akan berakhir dan menemui titik noktah penghujungnya?

Apakah ada penawar yang ampuh untuk menyelamatkan umat manusia daripada krisis akhlak semakin meruncing?

Apakah keadilan akan menjelma kembali menaungi alam semesta ini? Dan banyak lagi persoalan melingkari kehidupan manusia yang mengharapkan penyelesaian terbaik.

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, namun diingkari.

Ini bermakna Islam yang diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.

Perutusan Rasulullah SAW sebagai menyambung tradisi perjuangan nabi dan Rasul terdahulu menegakkan kalimah Allah.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia dalam menelusuri titian hidup penuh onak dan duri.

Allah berfirman yang bermaksud:
"Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jumuah, ayat 2)

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan paling dicintai kerana Baginda insan contoh dalam serba serbinya.

Oleh sebab itulah, umat Islam diperintahkan Allah supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah dalam segala lapangan hidup.

Firman Allah yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Rasulullah SAW memberi panduan melalui perkataan dan perbuatannya dalam pelbagai persoalan agama termasuk bab ibadah, muamalah, akhlak, peperangan dan kedamaian, hutang piutang dan perjanjian serta persoalan lain berkaitan keperluan hidup manusia.

Paling menakjubkan ialah sahabat Rasulullah SAW benar-benar memahami makna ikutan terhadap Rasulullah baik dalam ucapan mahu pun perbuatan atau ketentuan yang seharusnya mereka ikuti.

Kemudian mereka menghafal dan meriwayatkannya kepada generasi selepas itu hinggalah sampai kepada generasi umat Islam kini.

Dalam erti kata lain, sahabat memberikan perhatian serius kepada perintah agama yang disampaikan sebagaimana seriusnya Rasulullah SAW menyampaikan persoalan agama kepada umatnya supaya mereka berada di atas landasan yang lurus.

Oleh itu, mereka berani bertanya kepada Rasulullah SAW dan memohon penjelasan mengenai segala sesuatu yang belum jelas dalam pemahaman mereka.

Mengikuti sunnah Rasulullah SAW menjadikan seseorang Muslim itu berada dalam keinsafan, peka dan berdisiplin dalam hidupnya.

Sesuai dengan seruan Rasulullah SAW kepada umatnya supaya mengutamakan sunnah Rasulullah dalam setiap detik kehidupan, maka seluruh kegiatan dan amalan seseorang Muslim dipandu oleh pengawasan nuraninya dibimbing oleh kesedaran jiwa serta pemikiran waras.

Di samping itu, perbezaan iklim dan corak hidup pada suatu masyarakat sedikit sebanyak melebarkan jurang kemanusiaan antara mereka.

Jika dibiarkan saja, sudah pasti akan mengakibatkan perselisihan dan pertelagahan di kalangan umat Islam.

Kedatangan Islam menjernihkan kekeruhan dan merapatkan masyarakat dalam lingkungan sosial dengan cara membentuk corak hidup yang sama biarpun taraf sosial serta status ekonomi mereka berbeza.

Hasilnya, lahir generasi cemerlang seakan-akan himpunan batu-bata yang disusun rapi, serasi, seirama dan saling kuat menguat antara satu sama lain.

Mengikuti sunnah akan melahirkan rasa keistimewaan, kemerdekaan sejati, keperibadian luhur dan kesatuan jitu terhadap Islam. Meneladani Rasulullah SAW akan mengangkat darjat seseorang Muslim dalam hal keimanan, ketakwaan dan akhlak terbilang.

Akhirnya akan melahirkan personaliti terpuji yang boleh dicontohi, mantap akidahnya, istiqamah ibadatnya, tinggi akhlaknya, matang pemikirannya dan sihat sejahtera jasmaninya seperti jejak gemilang yang dirakamkan generasi Rasulullah SAW dan sahabat satu ketika dulu.

Menjadi kewajipan setiap Muslim bersungguh-sungguh meneladani Rasulullah SAW secara keseluruhan dalam setiap aspek kehidupan. Seseorang Muslim tidak boleh sama sekali meneladani beberapa aspek saja dan mengingkari aspek yang lainnya.

Sunnah Rasulullah SAW juga lengkap merangkumi hubungan dua hala iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Ringkasnya, sunnah Rasulullah SAW adalah cahaya yang menyuluhi perjalanan setiap Muslim ke arah keredaan Ilahi dan kebahagiaan sejati di akhirat kelak.


-Dipetik daripada : sebuah artikel
|
This entry was posted on 05:53 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: